Tuesday, February 24, 2009

Tanda-tanda halangan minda menyekat bakat terpendam

TANDA PERTAMA
Sudahkah difikirkan perkataan-perkataan dan ayat yang biasa anda sebut setiap hari? Perkataan-perkataan seperti 'susah sangat', 'tak bolehlah..' dan 'tak tahu ni...' kesemuanya adalah gambaran kepada halangan minda yang sedang menyekat potensi sebenar dan bakat kita yang selama ini terpendam.
Banyak ketikanya, orang yang mempunyai banyak halangan minda tidak menyebut perkataan susah atau tidak boleh. Tetapi……… ya…. tetapi……. mereka banyak menggunakan perkataan ‘TETAPI“.
“Boleh tak awak skor A?” “Boleh….. tapi…..susah sikit la…. tahun ni kementerian pelajaran nak kurangkan orang dapat gred A”.
“Kami nak lantik awak jadi presiden, setuju tak?” “Hmmm… jadi presiden tu tak ada masalah….. tapi….bagi la peluang pada orang lain…lagi pun saya sibuk sekarang ni….”
“Bila awak nak tulis buku?” “Memang nak tulis…tapi…. ekonomi sekarang tak berapa bagus..orang tak nak beli buku sangat sebenarnya…. jadi kena tunggu la ekonomi elok sikit, baru bagus tulis buku.”
Alasan memang mudah dicari. Semakin banyak alasan yang kita temui, semakin jauh bakat dan kebolehan sebenar kita terpendam dan tersorok di dalam diri. Apa yang membimbangkan ialah setiap kali kita ulang perkataan-perkataan halangan minda, semakin kuat kita percaya kepada apa yang kita katakan. Akibatnya, satu hari nanti bakat-bakat dan kebolehan yang terpendam itu semua mungkin tidak akan keluar lagi hingga ke akhir hayat. Alangkah ruginya…..
Dapatkah anda mula rasakan apakah bakat yang terpendam dalam diri jika anda berhenti menyebut perkataan-perkataan susah dan tak boleh?
TANDA KEDUA
Tanda kedua halangan minda mungkin sedang menyekat bakat terpendam anda ialah apabila anda ‘lebih suka mengenang kegagalan yang lalu’.
Banyak perkara yang boleh memenuhi fikiran anda. Anda boleh fikirkan tentang apa yang berlaku sekarang, pada masa lepas atau apa yang bakal berlaku suatu hari nanti. Namun, jika fikiran anda disekat oleh halangan minda, anda akan sentiasa terkenangkan kegagalan anda di masa lepas.
Anda perlu ingat, kegagalan di masa lepas bukanlah petanda kepada kebolehan diri anda. Ia cuma menunjukkan ada sesuatu yang anda lakukan di masa lepas tidak betul dan tidak kena caranya. Mungkin dulu anda tidak pernah tahu tentang teknik belajar berkesan. Mungkin dulu anda tidak ada pembimbing. Apa yang bahayanya di sini ialah, disebabkan anda asyik terkenangkan kegagalan lepas, anda jadi takut, bimbang dan mungkin buat keputusan untuk menangguhkan usaha menyambung pelajaran.
Cuba tanya diri anda hari ini. Jika anda mahu lakukan sesuatu yang baru hari ini, adakah anda akan terlebih dahulu mengenang kegagalan di masa lepas atau anda akan kenang dahulu kejayaan di masa lepas?

TANDA KETIGA
Tanda ketiga halangan minda sedang menyekat bakat terpendam di dalam diri ialah apabila kita ‘mudah terima’ pendapat orang lain tentang kebolehan diri sendiri.
Sebagai contohnya, katakan anda mahu memasuki catur. Kemudian anda ceritakan kepada beberapa orang kawan. Salah seorang kawan anda itu berkata, “Kau boleh ke main catur? Aku tengok cara kau main tak berapa cekap sangat, banyak lagi kelemahan. Kena ada bakat kalau nak menang main catur ni.”
Akibatnya, anda mula terima pandangan tersebut. Anda terima idea yang mengatakan bahawa anda tidak ada bakat. Padahal anda berbakat. Akhirnya, anda mungkin menarik diri daripada menyertai pertandingan tersebut.
Saya ingin berkongsi dengan anda tentang satu perkara. Kebanyakan orang di sekeliling kita tidak tahu apa bakat dan kebolehan yang ada di dalam diri kita. Mereka selalunya akan memberi komen dan pendapat berdasarkan bakat dan kebolehan mereka. Jika mereka tidak pandai berucap, mereka juga sangka kita tidak pandai berucap. Jika mereka tidak ada cita-cita, mereka akan rasa pelik yang amat sangat apabila tiba-tiba kita ceritakan tentang cita-cita kita.
Jadi kalau kita terlalu mudah menerima pendapat orang tanpa berfikir sendiri dan mencuba, kita akan kekal dalam keadaan sekarang selama-lamanya. Seingat-ingat saya, seumur hidup ini, sudah terlalu banyak saya dengar kata-kata yang mengatakan saya tidak boleh buat itu dan ini.
TANDA KEEMPAT
Tanda keempat yang perlu kita bincangkan ialah ‘terlalu sayangkan bantal busuk’. Saya percaya anda faham dengan maksud bantal busuk. Kita biasa lihat kanak-kanak kecil yang tidur dengan satu bantal kegemarannya. Bantal itu mungkin sudah lusuh, buruk dan berbau kerana sudah terlalu lama digunakan tetapi kanak-kanak ini masih perlukannya untuk tidur. Malah, bantal ini perlu dibawa oleh ibu bapa ke mana-mana sahaja supaya tidak timbul masalah semasa kanak-kanak ini mahu tidur nanti.
Dalam situasi orang dewasa, kita juga ada bantal busuk kita yang tersendiri. Bantal busuk yang dimaksudkan ialah cara pemikiran dan cara kita melakukan sesuatu. Cara pemikiran dan melakukan sesuatu ini pula ialah cara yang LAMA. Tentu anda pernah lihat seseorang yang langsung tidak mahu berubah. Jika pelajar, mereka masih tidak mahu ubah cara mereka membuat nota. Jadi mereka asyik menggunakan cara menulis nota semasa berada di sekolah rendah atau menengah. Kalau cara itu berkesan tidak mengapa, tetapi jika tidak, mereka masih terlalu sayang untuk meninggalkannya. Jika ini berkesan, pelajar ini tidak akan dapat mencari bakat sebenarnya dalam belajar dan mungkin hadapi kesukaran untuk menjadi pelajar cemerlang.Untuk orang dewasa pula, ramai yang terlalu sayangkan cara lama melakukan sesuatu. Sebagai contoh, jika mereka sudah biasa berucap dengan panjang dan dengan nada yang membosankan, mereka sayangkan cara itu dan langsung tidak mahu berubah. Mereka tidak mahu berubah walaupun dia sedar bahawa lebih separuh pendengar tidur dan tidak mempedulikan ucapannya. Jika ini berterusan, orang dewasa ini tidak akan dapat mengeluarkan bakat sebenarnya dalam menarik perhatian orang ramai untuk mendengar ucapannya.
Akibatnya, bakat terpendamnya untuk mencapai kejayaan yang jauh lebih besar akan terus terpendam selama-lamanya. Hari ini, apa kata kita berfikir bersama-sama sejenak. Adakah kita juga terlalu sayangkan bantal busuk kita? Adakah kita masih memeluk bantal itu sedangkan kita sedar ia tidak cantik dipandang dan tidak sedap baunya di sisi orang-orang disekeliling? Jika ada masa, apa kata kita senaraikan beberapa perkara yang kita lakukan yang masih menggunakan cara lama. Harapannya, jika kita sudah mula sedar bahawa cara lama ini adalah hanya bantal busuk kita, kita mungkin akan timbul keinginan untuk memiliki bantal yang baru, cantik dan wangi pula.

No comments:

Post a Comment